ALBUM REVIEW: The Milk-Eyed Mender Oleh Joanna Newsom

Wednesday, March 15, 2017

OLEH FARHIRA FARUDIN


Joanna Newsom merupakan sebuah nama yang sudah sedia prominen dalam scene muzik indie. Pun begitu, saya tidak tahu akan kewujudan beliau sehinggalah pada sekitar tahun 2015 apabila album keempat beliau iaitu Divers (2015) dipuji oleh para pengkritik dan peminat. Saya tertarik untuk mendengar muzik Joanna, dan lagu pertama beliau yang saya dengar ialah 'Sapokanikan'. Sapokanikan pada mulanya kedengaran aneh, mungkin kerana vokal Joanna yang kedengaran seperti anak kecil menyanyi riang. Namun oleh kerana liriknya yang terlalu matang dan diceritakan dalam bentuk naratif secara retrospektif dan mendalam, saya mengaku Joanna Newsom bukan sekadar pemuzik yang mempunyai suara unik seperti anak kecil. Joanna Newsom adalah Joanna Newsom yang harus dihormati sebagai pemuzik yang unik dan autentik dengan cara nyanyiannya yang tersendiri serta bakat penulisan yang meletakkan beliau sebagai antara penulis lagu yang terbaik oleh generasi sekarang.

Pasca menghabiskan masa dengan menghadam album Divers selama beberapa hari, saya tahu saya telah menjadi peminat Joanna. Sebagai peminat yang baharu, saya harus mendengar seluruh diskografi Joanna Newsom dan ini termasuklah The Milk-Eyed Mender, album debutnya yang dirilis pada tahun 2004.

Seperti yang saya katakan tadi, Joanna mempunyai suara yang unik dan seperti keanak-anakan. Suaranya lain daripada pemuzik wanita indie yang lain yang sekarang ini kelihatan seperti suatu trend baharu dalam scene muzik indie dimana vokalis wanita harus mempunyai suara lunak yang seakan dibuat-buat. Oleh kerana ini, ramai berpendapat masalah utama yang menghalang mereka daripada meminati Joanna sepenuhnya ialah vokalnya. Malah ramai menganggap suaranya nyaring, salah satu komentar yang saya jumpa di YouTube turut membandingkan suara Joanna seperti 'bunyi nyaring dan menyakitkan yang kedengaran apabila kuku tajam mencakar papan hitam'. Saya akui bukan mudah untuk terima vokal Joanna sebagai nyanyian yang hebat. Malah saya sendiri memakan masa untuk menerima lenggok nyanyiannya yang aneh dan vokalnya yang kadang-kadang terasa nyaring. Terutamanya dalam The Milk-Eyed Mender di mana Joanna sendiri menyifatkan vokalnya sebagai untrainable


Namun bagi saya vokalnya yang unik menguatkan lagi lagu-lagu dalam The Milk-Eyed Mender. Cuba bayangkan jika seluruh album tersebut dinyanyikan oleh vokalis wanita yang lain? Pasti The Milk-Eyed Mender akan diangkat sebagai album yang biasa-biasa sahaja. Alunan bunyi harp yang mengasyikkan turut menjadi elemen yang menguatkan album debut ini.

Pada turut saya, faktor yang menyebabkan The Milk-Eyed Mender dianggap sebagai sebuah album debut yang cukup kuat dan sempurna adalah liriknya. Saya sukakan 'Peach, Plum, Pear' yang menceritakan tentang hubungan Joanna dan seorang lelaki. Mungkin kedengaran seperti rencah yang biasa digunakan dalam ribuan lagu-lagu folk yang lain, namun lirik yang ditulis Joanna menjadi kekuatan utama di sini:

This is unlike the story, it was written to be
I was riding its back when it used to ride me
And we were galloping manic to the mouth of the source
We were swallowing panic in the face of its force

'Sadie' juga merupakan lagu kegemaran saya daripada album ini. Sadie menceritakan tentang kematian anjing kesayangan Joanna serta beberapa hubungan yang terpaksa berakhir dengan begitu sahaja. Nyanyiannya yang penuh emosi serta lirik yang begitu puitis dan indah tentang subjek kematian menyukarkan saya untuk tidak menyukai lagu ini. 

And all that I want and all that I need
And all that I've got is scattered like seed
And all that I knew is moving away from me
And all that I know is blowing like tumbleweed
And the mealy worms in the brine will burn
In a salty pyre among the fauns and ferns
And the love we hold and the love we spurn
Will never grow cold, only taciturn

Sukar untuk percaya bahawa Joanna Newsom baru berusia 22 tahun sewaktu beliau mempersembahkan The Milk-Eyed Mender di mata dunia. Kematangan lirik beliau dan bakatnya sebagai seorang harpist jauh melangkaui usia beliau sewaktu album ini dirilis. Jika melihat keseluruhan diskografi beliau, satu perkataan yang saya boleh beri ialah timeless. Malah, The Milk-Eyed Mender yang merupakan album debut, yang sepatutnya menunjukkan Joanna sebagai pendatang baru dalam industri muzik kedengaran lebih matang daripada album-album folk lain yang dirilis bertahun-tahun sebelumnya. Saya juga yang baru berusia 20 tahun rasa saya tidak mungkin dapat mencapai apa yang dilakukan oleh Joanna dengan album ini. 

The Milk-Eyed Mender merupakan album kegemaran saya daripada Joanna Newsom. Mungkin ia tidak sehebat Ys (2006) yang begitu sempurna daripada segi susunan orkestra serta produksi. Mungkin ia tidak se-epik Have One on Me (2010) yang berdurasi selama dua jam. Mungkin ia tidak semoden dan seindah Divers (2015). Tapi menurut saya, The Milk-Eyed Mender adalah album debut yang sempurna yang dikeluarkan oleh seorang pemuzik berbakat dan tulus dari segi niatnya untuk berkecimpung dalam industri muzik. The Milk-Eyed Mender menunjukkan kematangan diantara keanak-anakan. The Milk-Eyed Mender menunjukkan keindahan walaupun sentiasa dihantui oleh vokal yang masih muda dan perlu diperelokkan. The Milk-Eyed Mender menunjukkan skil seorang penulis lirik yang kaya dengan penguasaan kata-kata dan meletakkan beliau setanding dengan penulis lirik hebat yang lain. The Milk-Eyed Mender adalah sebuah album yang saya berasa bangga apabila mendengarnya kerana bukan semua pemuzik dapat menghasilkan album debut yang cermelang seperti ini. 

You Might Also Like

0 comments