Varium et mutabile semper femina. Maksudnya wanita itu sering berubah. Ramona cuba hadamkan erti ayat yang dipetik daripada puisi epik tulisan Virgil. Sukar untuk dia mengaku bahawa sebenarnya dia tahu akan ayat tersebut daripada album terbaru Laura Marling, bukannya kerana dia membaca puisi Virgil sendiri.
Tapi bukan itu masalahnya di sini.
Ramona melihat konteks ayat dari puisi tersebut dan cuba mengaplikasikan ke atas dirinya. Terlalu banyak perkara yang sudah diubah dan bakal diubah, dan oleh kerana ketidak puas hatinya terhadap diri sendiri dan orang sekeliling maka perubahan itu merupakan suatu perkara yang pasti. Pasti berlaku. Pasti berubah. Untuk menjadi yang lebih baik. Untuk menjadi yang terbaik. Untuk diri sendiri, bukan untuk orang lain.
Ramona berjalan perlahan menuju ke meja belajar di mana komputer ribanya telah tersedia. Lagu-lagu dari album Tidal lantang dimainkan, dan Ramona benci akan Fiona Apple yang seperti tahu apa yang dia harus tempuhi dalam hidupnya sekarang.
Baru sebulan dia ditinggalkan J untuk perkara mustahil untuk difahami. Ramona sukar untuk faham mengapa J sanggup meninggalkannya sementelah terlalu banyak perkara yang mereka sudah kongsi bersama. Maka perubahan itu dirasakan perkara yang mustahak untuk dilakukan. Jadi mana harus Ramona mulakan?
Perubahan fizikal merupakan jalan paling klise untuk seseorang yang baru sahaja putus cinta. Potong rambut. Kuruskan badan. Buang baju lama dan habiskan duit untuk beli baju baru. Ramona ialah seorang wanita yang klise. Namun terlalu banyak aspek luaran Ramona yang mengingatkannya kepada J. Lantas, fizikalnya diberi nafas baru. Tiada lagi rambut yang diwarnakan ungu sewaktu mula perkenalan dengan J – menurut J warna itu mengingatkanya kepada Ramona Flowers pada fasa pertama dalam filem Scott Pilgrim vs The World. Yang tinggal kini hanyalah rambut pendek yang bakal diwarnakan hitam semula, dia cuma perlu cari masa untuk cari pewarna rambut yang sesuai.
Ramona lihat ke arah kucing yang sedang tidur nyenyak di atas kaunter dapur. Kucing pemberian J sewaktu ulang tahun pertama. Kucing yang tidak punya nama, lalu kucing itu terusan dipanggil ‘meow’. Kucing itu seharusnya dibuang jauh dari hidupnya jika dia betul mahukan perubahan. Jika dia betul tidak mahu ada kena-mengena dengan J. Perlahan-lahan kucing itu dikejutkan dari tidur dan diletakkan di luar rumah. Jika kucing itu datang balik, Ramona menganggap kucing itu memang milik dia. Jika tidak, Ramona harap kucing itu faham mengapa dia menghalaunya keluar dan tidak akan datang kembali.
Oh ya, tiada lagi nama Ramona. Nama itu identiti teragung seseorang, dan selama ini dia telah menggunakan nama yang diberi oleh seseorang yang tidak lagi bermakna dalam hidupnya. J memanggilnya Ramona kerana nama itu mengingatkannya sekali lagi kepada Ramona Flowers, karakter wanita yang menjadi idaman setiap lelaki yang sudah menonton filem yang dianggap cult classic itu. Nama sebenarnya ialah Mona. Mona itu elok. Mona itu lebih baik daripada Ramona.
Secara luarannya Mona kelihatan seperti baru dilahirkan ke tubuh baru. Namun bukan seperti proses resureksi yang sering dibayangkan di mana jiwa nya merupakan jiwa baru. Jiwanya terasa masih kelam dan sesat. Sesat dalam perjalanan untuk mencari dirinya yang telah lama hilang. Mona terasa rimas. Rimas akan persekitaran yang mengongkong dirinya daripada terus keluar untuk menjadi diri sendiri.
Mona sedar bukan semua perkara yang dibawa J ke dalam hidupnya perkara yang sia-sia. Malah, J berjaya membentuk Mona untuk menjadi seseorang yang lain dari asalnya. Mona menyentuh rambut barunya dengan perlahan. Tiada lagi warna ungu yang menarik perhatian orang ramai sewaktu mereka keluar bersama. Tiada lagi saat di mana Mona berjaya mencuri perhatian ramai orang, terutamanya lelaki, dengan cara dia membawa diri. Secara tidak langsung, Mona terasa seperti bukti sahih bahawa Manic Pixie Dream Girl itu wujud. Walaupun personaliti kegemaran kebanyakan penulis filem lelaki itu bakal dimusnahkan perlahan-lahan, Mona akui dia mula rindukan karakter yang dia bawa dengan jayanya sepanjang dia bersama J.
Sekali lagi fikirannya bercelaru.
Penyesalan perlahan-lahan mula masuk ke fikiran Mona. Mungkin terlalu awal untuk dia melakukan sebarang perubahan. Mungkin tangannya terlalu pantas menggunting rambut sendiri, walhal dia selama ini suka akan rambut yang unik itu. Mungkin terlalu awal untuk dia buat mixtape yang dipenuhi lagu sedih yang ditujukan untuk diri sendiri. Mungkin terlalu kejam untuk dia menghalau kucing itu keluar. Mona membuka pintu. Kucing itu sedang menyambung tidurnya di depan pintu. Lega.
Segalanya rasa seperti dipaksa. Perubahan yang sepatutnya datang ikhlas daripada hati yang benar-benar ingin berubah. Jika Mona benar ingin bebas daripada kenangan bersama J, dia harus ikhlas. Kebebasan yang rasa separa dan seperti disekat sama sekali bukan sebuah bentuk kebebasan. Kebebasan perlukan nikmat. Datang nikmat maka datanglah rasa bebas.
Mengubah diri untuk mejadi lebih baik, atau lebih tepat menjadi diri sendiri, merupakan sebuah kebebasan yang orang lain tidak boleh beri kepadanya. Tiada lagi Manic Pixie Dream Girl berambut ungu. Tiada lagi lagu-lagu depresi yang mengingatkannya kepada J. Mona harus bebas. Langkah pertama untuk bebas adalah dengan cuba untuk menghargai rambut baru Mona.
Cerpen ini telah ditulis oleh Farhira Farudin sempena Festival Seni Unisel 2017.